Jumaat, 6 April 2012

Yang Bernama Caldina

Sejak 2 tahun lepas Toyota Caldina yang tidak pernah diketahui kewujudannya tiba-tiba muncul di pasaran kereta di negara kita. Serius, saya tidak pernah mendengar apa-apa tentang model Toyota Caldina sebelum itu, sehinggalah saya melihat begitu banyaknya kelibat Caldina meluncur laju di atas jalan raya. Bagi yang memandu Caldina GT-4 Turbo, gaya dan imej yang ditonjolkan seolah-olah mereka sedang memandu sebuah BMW 5 Siri. Itu betul dan kena pada situasinya, siapa yang akan menafikan bahawa Toyota Caldina adalah sebuah kereta yang memang cantik, sporty, mantap, bergaya, elegan dan berperwatakan garang. Inilah kali pertama sebuah model kereta wagon mencapai taraf yang tinggi di mata umum. Ingat lagi Nissan AD Resort yang menjadi kegilaan kaki modifikasi kereta beberapa tahun lepas, tarafnya tidak pernah sehebat sebuah Caldina walaupun apabila dibandingkan dengan sebuah Caldina 1.8 liter.

Tidak perlu saya memberikan perincian mendalam tentang teknologi sebuah Toyota Caldina kerana hakikat sebenarnya, daya tarikan sebuah Caldina ialah disebabkan bentuknya yang sporty, enjin yang berkuasa termasuk varian 2.0 yang dilengkapi sistem turbo, ruang dalaman yang selesa, ruang kargo yang luas dan yang paling penting ialah gayanya yang memukau. Jika anda seorang yang bercitarasa tinggi tetapi enggan memandu sebuah Honda Civic, Toyota Caldina adalah pilihan yang paling tepat. Selain itu dengan kuasa yang ada padanya, Toyota Caldina juga menjadi pilihan bagi mereka yang mementingkan sesebuah kereta yang boleh dipandu laju, dan yang penting kemampuannya untuk dimodifikasi setanding dengan kereta sport yang lain, termasuk model Evolution 7 dan Subaru Impreza.



Sebagai info, Toyota Caldina sebenarnya dihasilkan oleh syarikat Toyota dan hanya dipasarkan di Jepun sahaja (Japanese Domestic Market – JDM) dan pihak Toyota tidak pernah mengeksportnya secara rasmi ke pasaran luar. Pelik, sebuah model kereta sehebat Caldina hanya dipasarkan secara JDM sahaja sedangkan Caldina mampu menarik minat pembeli walau di mana saja ia dipasarkan. Walau bagaimanapun, populariti Toyota Caldina keluaran 2002 – 2007 ini tidak pernah luntur dan pengimport kelabu (grey importer) dari negara luar tidak melepaskan peluang apabila melihat prospek Caldina yang mampu dijual. Selain Malaysia, Toyota Caldina dimport masuk oleh grey importer ke pasaran Australia, New Zealand, Russia, Amerika Selatan dan beberapa negara lain. Betul atau tidak fakta yang saya petik dari sebuah majalah permotoran, dikatakan bahawa Toyota Caldina paling banyak terjual di Malaysia berbanding mana-mana negara lain. Pendek kata selepas Jepun, Toyota Caldina paling banyak boleh dijumpai di negara kita dan ini sudah cukup untuk membuktikan populariti kereta tersebut di sini.

Terdapat beberapa varian bagi model Caldina yang diimport masuk ke sini iaitu yang mempunyai enjin 1.8 liter dan 2.0 liter. Varian bagi model 2.0 liter termasuklah 2.0 ZT dan 2.0 GT-4 Turbo. Kesemua model dilengkapi transmisi automatik manakala bagi model GT-4 ianya dilengkapi transmisi tiptronik. Harga terkini bagi sebuah Caldina yang diimport sebagai model recond itu bermula dari RM100k sehingga mencecah RM170K, bergantung pada tahun bila ia dikeluarkan. Setakat ini tiada sebarang berita berkenaan model terbaru Toyota Caldina yang sepatutnya sudah sampai ke generasi keempat. Mungkin generasi ketiga adalah produksi terakhir Toyota Caldina dan pihak Toyota masih belum mempunyai rancangan untuk mengeluarkan Caldina generasi keempat.



Toyota Caldina amat mudah dijumpai dimana-mana pengedar kereta terpakai terutamanya dari pengedar-pengedar kereta mewah recond dari Jepun. Sebuah

Toyota Caldina terpakai di Jepun dijual dengan harga yang murah kerana di Jepun, saban tahun akan keluar model kereta yang baru dan kerana harga kereta baru yang murah di sana, harga kereta terpakai juga menjadi murah walaupun masih berkeadaan baik dan mempunyai jarak perbatuan yang begitu rendah. Namun apabila sampai di Malaysia, harganya meningkat menjadi begitu tinggi kerana nilai pasarannya yang begitu baik sekali. Selagi ada permintaan, Toyota Caldina yang kini menjadi sebuah model kereta dalam kategori mewah akan sentiasa berharga di paras melebihi RM100k. Toyota Caldina sesuai untuk kegunaan seisi keluarga mahupun bagi individu yang mementingkan gaya sebuah kereta berkuasa, selesa dan mempunyai ruang yang luas.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...